Pakar IT direkod penderma organ kesembilan di Sabah

Pakar IT direkod penderma organ kesembilan di Sabah

KOTA KINABALU: Seorang pakar IT yang dilaporkan meninggal dunia akibat masalah kesihatan dimaklumkan sebagai penderma organ kesembilan di Sabah pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Arsits Sanna berkata, ahli keluarga mendiang Jonathan Ho, 47, telah bersetuju mendermakan sepasang kornea (mata) bagi membantu mana-mana pesakit memerlukan.

Pihak perubatan HQE memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang selepas proses transplan berkenaan.

“Kita merakamkan takziah dan penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini.

“Ahli keluarga berasa bersyukur setelah dimaklumkan bahawa kornea yang didermakan telah berjaya ditransplan kepada dua orang pesakit di Hospital Queen Elizabeth dan berharap agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, “katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Dr Arsits berkata, mendiang Jonathan yang berasal dari Kg. Tuunon Kolopis, Penampang merupakan seorang graduan ijazah dalam bidang Computer Information System dari Hawaii Pacific University di Honolulu, Amerika Syarikat pada tahun 1999.

“Mendiang merupakan pakar dalam pengaturcaraan komputer (computer programming), aktif dalam persatuan pengaturcara dan sering terlibat sebagai penceramah jemputandalam bengkel berkaitan ICT bagi membantu komuniti di Sabah menerokai dengan lebih mendalam bidang tersebut.

“Ahli keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang mesra, periang dan sentiasa ingin membantu golongan yang memerlukan tanpa ragu-ragu,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, merekodkan lapan kes pendermaan kornea (mata) dan HQE II yang merekodkan 1 kes pendermaan pelbagai organ (hati, buah pinggang dan kornea) bagi tahun ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|