PM kritik sikap ahli politik perlekeh isu projek pembangunan di Sabah

PM kritik sikap ahli politik perlekeh isu projek pembangunan di Sabah

TENOM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap sesetengah tokoh politik di negeri ini yang sengaja membangkitkan isu-isu projek pembangunan tanpa berlandaskan fakta tepat.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja menyebabkan sentimen rakyat memperlekehkan usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan negeri Sabah, bahkan tidak membantu kepada proses yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat Sabah.

“Saya nak jelaskan kerana ada tokoh-tokoh politik di Sabah yang gunakan cerita ini untuk menarik minat orang Sabah, kalau ada fakta saya tidak ada masalah saya juga pengkritik kerajaan yang terkenal dulu.

“Tetapi kalau dia putar belit kenyataan, memalsukan fakta, saya terpaksa jawab untuk pertahankan keputusan kita, hubungan saya sangat baik dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Hubungan baik ini memudahkan…beliau bukan minta projek dengan saya, bukan minta kemudahan untuk peribadi beliau, tetapi minta projek untuk rakyat… hubungan baik itu membantu untuk mempercepatkan projek dan keselesaan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, Tenom, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) Datuk Annuar Ayub.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|