Jawatankuasa tangani harga barang Sabah, Sarawak akan diwujud: PM

Jawatankuasa tangani harga barang Sabah, Sarawak akan diwujud: PM

PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan akan mewujudkan jawatankuasa khas dalam menangani harga barang di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu adalah melihat kepada keseimbangan harga barangan di antara Semenanjung dan dua negeri di Borneo selain memastikan ianya terkawal dari semasa ke semasa.

Jelasnya, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof akan diberikan tugas sebagai pengerusi kepada jawatakuasa berkenaan nanti.

“Orang Sabah perlu tahu, kita di peringkat Persekutuan kalau tidak tampung harga-harga ini, ianya akan melambung lebih tinggi.

“Walaupun masih tinggi, jadi saya akan minta TPM II, Datuk Seri Fadillah untuk mempengerusikan jawatankuasa khas bagaimana untuk tangani harga barang terutamanya di Sabah dan Sarawak ini dengan bantuan Persekutuan, dengan beberapa kaedah yang lain dan ini akan disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya bersempena perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Buhavan Square, dekat sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut berkesempatan meluncurkan Pelan Pembangunan Penampang (2024-2035) selain menyampaikan watikah pelantikkan kepada Ahli Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan.

Hadir sama adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benendick dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Anwar turut mengumumkan peruntukkan tambahan kepada Daerah Penampang iaitu sebanyak RM2juta untuk pembangunan, baik pulih dan lain-lain kegunaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|