Kerajaan Persekutuan tetap sokong Hajiji: PM

Kerajaan Persekutuan tetap sokong Hajiji: PM

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Kerajaan Perpaduan di Persekutuan tetap akan menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Jaminan itu diberikan selepas melihat kepada kesungguhan Kerajaan Negeri Sabah dalam melaksanakan pelbagai mekanisme membangun negeri ini dan sebagai jaminan kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Ulasnya, tidak timbul soal berbangkit yang lain memandangkan Sabah dibawah kepimpinan kerajaan sedia ada dilihat sebagai wadah tepat untuk pembangunan infra, ekonomi semasa.

“Saya percaya dengan sikap dan pendirian Kerajaan Negeri sekarang, kita boleh bagi kerjasama, dia dalam politik dalam negara harus ada sikap saling percayai mempercayai.

“Sebab itu saya ambil keputusan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan atas kerjasama ditunjukkan dan prestasi Kerajaan Negeri, kita di Kerajaan Perpaduan tetap menyokong kepimpinan Datuk Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Jadi jangan orang bangkitkan soal-soal lain, pendirian saya jelas, untuk apa? supaya ada hubungannya harmoni, kerjasama untuk bangunkan dan jamin keselesaan hidup rakyat di negeri ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya bersempena perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Buhavan Square, dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai isu projek pembangunan di Sabah, Perdana Menteri mengulangi sikap komited Kerajaan Persekutuan yang sentiasa mengambil berat terhadap isu-isu di negeri ini.

Ini termasuklah peruntukkan Belanjawan Malaysia Madani 2024, di mana Sabah menerima dana RM16 billion yang mampu memberikan impak positif kepada pembangunan infra dan ekonomi negeri pada tahun hadapan.

“Masalah di Sabah lebih banyak, jalan, bekalan elektrik, air, semua ini kita harus bantu.

“Jadi ini tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, jadi orang-orang Semenanjung janganlah bantah, tapi orang-orang Sabah, terima kasihlah sedikit, janglah marah lagi,”ujarnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|