Perdana Menteri gesa projek pembangunan Sabah dipercepat

Perdana Menteri gesa projek pembangunan Sabah dipercepat

TENOM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mendengar sebarang alasan yang mampu menghalang kepada pembangunan di Sabah merangkumi aspek bekalan air, elektrik ataupun Lebuh Raya Pan Borneo.

Beliau berkata, ini memandangkan kesemua projek-projek terbabit perlu dipercepatkan demi manfaat kepada rakyat.

“Kita kena kerahkan supaya jangan bagi apa sahaja alasan untuk melenggah-lenggahkan projek-projek ini, kadang-kadang kita pecah tanah, projek itu selalu tertangguh.

“Apabila tertangguh projek-projek itu, maka dia akan meninggalkan dua kesan iaitu kos meningkat dan harapan rakyat untuk memperolehi kemudahan elektrik, air (atau jalan raya) juga akan tertangguh, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, Tenom, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai projek empangan tersebut, Perdana Menteri turut meminta supaya ia dipantau dengan secara efisyen bagi menyegerakan pembangunannya untuk dimanfaatkan di negeri Sabah.

“Kita mahu pelaksanaannya disegerakan dan semua pihak akan pantau dan tidak ada alasan untuk melenggahkannya.

“Kalau tanya kepada saya, unjuran awal itu sepatutnya diluahkan kerana projek ini kritikal, mendesak dan perlu dipercepatkan supaya rakyat Sabah menerima manfaat bekalan elektrik, ” katanya lagi.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) Datuk Annuar Ayub.

Untuk rekod, Projek Hidroelektrik Ulu Padas tersebut bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW) sekali gus akan menyumbang secara signifikan kepada grid bekalan tenaga Sabah dengan penambahan sebanyak 15 peratus.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|