Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengeluarkan arahan tegas hari ini kepada semua ketua jabatan dan pegawai daerah supaya mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri ini.
“Dengan berbaki enam bulan, saya mahu semua ketua jabatan dan pegawai daerah mengambil perhatian terhadap isu yang menghalang pelaksanaan.
“Lakukan yang terbaik untuk melaksanakan dan menyiapkannya pada tahun ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, beliau ingin laporan kemajuan terperinci pada mesyuarat MTPNg seterusnya, pada September ini.
Sabah telah diperuntukkan sejumlah RM6.05 bilion dalam Belanjawan Negara tahun ini, iaitu ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Bagaimanapun, di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12, hanya 21.61 peratus daripada 1,181 projek untuk Sabah telah dilaksanakan.
Dengan masa yang semakin suntuk, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah mencadangkan penubuhan tabung amanah di mana peruntukan yang tidak digunakan untuk tahun itu boleh disimpan dan digunakan untuk tahun akan datang.
Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menghadiri mesyuarat itu.
Hadir sama ialah Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pegawai Pembangunan Sabah, Samsul Dollah.
Mesyuarat itu diberitahu bahawa data MyProjek menunjukkan setakat 12 Jun 2023, kira-kira 141 projek di bawah RM50 juta bernilai RM1.6 bilion akan diwakilkan kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Dalam hal ini, saya menggesa semua ahli jawatankuasa MTPNng mengambil iktibar perkara ini dan melakukan perkara yang perlu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya kepada perkhidmatan awam negeri dan persekutuan Februari lalu telah memberikan tempoh enam bulan untuk melihat keberkesanan langkah itu.
“Sepatutnya tiada lagi alasan untuk menunggu kelulusan daripada Persekutuan sebagai punca projek tertangguh.
“Rakyat dan Kerajaan akan rugi jika berlaku kelewatan dalam melaksanakan projek yang diluluskan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa semua ketua jabatan dan pegawai daerah untuk merealisasikan agenda sifar miskin tegar menjelang akhir tahun ini seperti yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.
“Saya mahu semua pegawai daerah turun padang dan mengesahkan butiran mereka yang dikategorikan sebagai miskin tegar di kawasan masing-masing. Kita mahu status sebenar mereka direkodkan,” katanya.
Hajiji turut menggesa jabatan berkaitan yang dibebani dengan “projek sakit” untuk menamatkan kontraktor tidak berprestasi yang telah menghalang penyiapan projek.
Tambahnya, antara projek yang sakit ialah projek-projek di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
-Deasoka