Sandakan: Buat julung kalinya, Ekspo minyak sawit diadakan di Sabah yang akan dilangsungkan di Dewan Hakka, Sandakan, bermula Selasa.
Ekspo berkenaan diadakan bagi membantu pemain industri minyak sawit tempatan mendapatkan maklumat berkaitan teknologi industri terbabit daripada pakar dalam dan luar negara.
Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, selain daripada berkongsi maklumat, ia bertujuan untuk menjalinkan hubungan perniagaan pemain industri setempat dan luar.
“Ini adalah satu cubaan yang baik… mereka datang ke sini untuk mengadakan ekspo dan membawa syarikat dari China dan Semenanjung Malaysia.
“Ada satu sesi untuk suai kenal dan juga sesi untuk menjalin hubungan perniagaan, jadi ini sudah tentu akan mewujudkan peluang kepada peniaga refinery dan juga pemain industri minyak sawit di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan ekspo berkenaan, hari ini.
Pihaknya berharap agar ekspo berkenaan memberi manfaat kepada pemain industri sawit Sabah, sekali gus membantu merancakkan ekonomi berasaskan sawit di negara ini.
Ekspo yang berlangsung selama dua hari itu terdiri daripada pameran teknologi industri, pameran alatan canggih terkini dan ceramah perkongsian ilmu berkaitan sawit daripada pakar serta peniaga yang sudah maju.
-Deasoka