SEC bayar dividen RM10 juta kepada Kerajaan Negeri

SEC bayar dividen RM10 juta kepada Kerajaan Negeri

Kota Kinabalu: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) membayar dividen RM10 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub menyampaikan cek itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, Adzmir Abd Rahman dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Adzmir menberitahu Ketua Menteri bahawa SEC dan kumpulan syarikatnya telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM47.9 juta pada 2022.

Menurut beliau, anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn Bhd, menyumbang dengan ketara kepada SEC dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM28.8 juta. Keuntungan sebelum cukai bersendirian SEC berjumlah RM22 juta.

Sehingga kini, jumlah sumbangan dividen SEC kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM241 juta.

Adzmir berkata, keuntungan terkumpul SEC selepas pelaburan semula selama ini telah meningkatkan Dana Pemegang Saham kepada lebih RM1 bilion pada akhir 2022.

Katanya lagi, sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Sabah, SEC kini memainkan peranan utama dalam pertumbuhan perindustrian dan ekonomi rantau ini.

SEC komited untuk meningkatkan operasi perniagaan dan keuntungannya dalam sektor tenaga, sejajar dengan objektif Kerajaan Negeri untuk mempunyai lebih banyak penyertaan aktif GLC negeri dalam industri tenaga, tambahnya.

Dengan asas pelanggan dan kawalan infrastrukturnya yang semakin berkembang, SEC berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti yang akan meningkatkan keuntungan dan memberi impak positif kepada rakyat Sabah melalui pembayaran dividen berterusan kepada Kerajaan Negeri, katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|