Kota Belud: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang giat menstabilkan operasi agihan bekalan air di tiga daerah, iaitu Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, usaha yang sedang dijalankan itu akan memakan masa selama sebulan hingga tiga bulan.
“Alhamdulillah telah lebih dua minggu ada perkembagan yang positif tentang agihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat.
“Saya berharap perkara ini akan dapat mencapai objektifnya dan bekalan air di kawasan Tuaran, Kota Kinabalu dan juga Putatan akan dapat distabilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Kota Belud, hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau pelaksanaan pakej 10 lebuh raya Pan Borneo di Kota Belud.
Shahelmey berkata, jalan yang menghubungkan Pituru ke Rampayan Laut dan memakan kos sehingga lebih RM400 juta itu dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada suku pertama tahun hadapan.
Terdahulu, beliau telah melakukan tinjauan kerja di enam kawasan di Kota Belud, iaitu Kampung Labuan, Kota Peladok, Rampayan Laut, Rampayan Ulu dan Kampung Dudar Taburon.
Tinjauan itu bagi mendapatman perkembangan terkini mengenai permasalahan air dan projek infrastruktur di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya yang sedang berjalan di daerah berkenaan.
-Deasoka