Penurunan kuasa boleh selesai isu infrastruktur asas – Bung Moktar

Penurunan kuasa boleh selesai isu infrastruktur asas – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri boleh memanfaatkan penurunan kuasa melulus projek pembangunan bernilai hingga RM50 juta untuk menyelesaikan isu infrastruktur asas di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tiga infrastruktur asas iaitu bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya luar bandar antara projek yang boleh dilaksanakan di bawah kuasa berkenaan.

Katanya, Sabah memang memerlukan projek pembangunan berkaitan ketiga-tiga infrastruktur asas itu memandangkan masih banyak kawasan belum menikmati kemudahan terbabit.

“Di Sabah keperluan asas ada tiga iaitu bekalan air bersih, elektrik dan jalan kampung. Peruntukan RM50 juta ini boleh dimanfaatkan untuk tiga perkara itu.

“Ketika ini, kebanyakan jalan kampung di Sabah sukar dilalui jika musim tengkujuh manakala 30 peratus kampung tiada bekalan air bersih.

“Jadi, dengan keputusan ini kita boleh rancang perkara ini. Kerajaan dapat manfaat bagi melaksanakan projek untuk kepentingan rakyat dan memang itu yang kita harapkan dari dulu,” katanya, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan keputusan mesyuarat Kabinet Persekutuan untuk menurunkan kuasa melulus projek pembangunan bernilai hingga RM50 juta kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata beliau amat mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri memberi kelonggaran kepada Sabah dalam soal pelaksanaan projek bernilai hingga RM50 juta itu.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu perkembangan yang baik memandangkan ia sudah lama dinantikan rakyat Sabah.

“Ini bermakna, Sabah boleh merancang sendiri apa yang diperlukan oleh rakyat negeri ini. Ia juga selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana kerajaan Pusat perlu memberi pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah turut menaruh harapan agar Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat diberikan peruntukan secukupnya pada tahun ini bagi menyegerakan penyiapannya.

Langkah itu, katanya penting bagi mengubat penantian rakyat Sabah yang sudah lama menunggu hasil daripada pelaksanaan lebuh raya tanpa tol itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|