Penampang: Seorang lelaki warga asing maut selepas digilis sebuah lori 10 tan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kota Kinabalu-Penampang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 10.53 pagi itu, insiden membabitkan warga asing berusia 21 tahun itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan lori 10 tan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa yang terjatuh selepas terlanggar belakang pacuan empat roda.
“Mangsa terjatuh di lorong bersebelahan selepas terlanggar belakang pacuan empat roda dihadapannya.
“Sebuah lori yang berada di lorong kiri dipercayai tidak sempat untuk mengelak dan terus merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Haris berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
-Deasoka