Kerajaan negeri alu-alukan kuasa lulus projek hingga RM50 juta

Kerajaan negeri alu-alukan kuasa lulus projek hingga RM50 juta

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengalu-alukan keputusan Kabinet Persekutuan hari ini yang memberi autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak bagi meluluskan pelaksanaan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia adalah satu lagi berita baik kepada Sabah selepas penyerahan kuasa kawal selia sumber gas yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Ia sudah tentu akan membantu dalam kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan yang sebelum ini berdepan halangan birokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri berhubung keputusan mesyuarat Kabinet Persekutuan hari ini yang antara lain meluluskan penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak untuk memutuskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata keputusan Kabinet Persekutuan itu juga selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, katanya beliau bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan bermesyuarat dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi memuktamadkan beberapa perkara di bawah MA63, termasuk berkaitan geran khas.

Beliau berkata, jawatankuasa kerja dan semakan berkaitan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga akan diteruskan.

“Berita baik lain yang dijangka ialah peruntukan tambahan bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi mempercepatkan penyiapannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|