Penuntut wanita rugi hampir RM50,000 diperdaya sindiket Love scam

Penuntut wanita rugi hampir RM50,000 diperdaya sindiket Love scam

Kota Kinabalu: Seorang penuntut wanita di sebuah universiti tempatan, di sini, kerugian hampir RM50,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi Telegram.

Kejadian bermula pada 5 Februari lalu, apabila mangsa berusia 19 tahun berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi berkenaan.

Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam Telegram sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp sehingga menjadi kawan rapat.

Selepas itu, lelaki terbabit meminta bantuan kewangan daripada mangsa dengan alasan untuk membeli Skin Hero Mobile Legend.

Atas dasar percaya, penuntut itu mengirimkan wang kepada lelaki terbabit secara berperingkat ke dalam lima akaun yang berbeza.

Mangsa berasa tertipu apabila lelaki terbabit tidak memulangkan kembali wang yang dipinjam malah masih meminta wang.

Menyedari ditipu, penuntut itu kemudian membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan kes penipuan scammer yang sudah banyak dihebahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain pihak serta laporan di media arus perdana.

“Jangan mudah percaya akan pujuk rayu daripada seseorang yang tidak pernah dikenali melalui media sosial,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|