Penjawat awam ditahan beri rasuah RM7,000

Penjawat awam ditahan beri rasuah RM7,000

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam di Beluran, kerana memberi wang rasuah kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik satu laporan polis terhadapnya.

Suspek berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan, hari ini.

Sumber berkata, suspek disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kes samun berkumpulan.

“Pada 30 Oktober 2021, suspek kemudian menawar serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 beserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin.

“Suspek dijadualkan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|