2 rumah, 2 kenderaan musnah dalam kebakaran

2 rumah, 2 kenderaan musnah dalam kebakaran

Kudat: Dua buah rumah dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Paka, Jalan Telekom, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.29 pagi.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Taman Paka, Jalan Telekom, Kudat.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

“Operasi turut dibantu 12 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kampung Air.

“Ketika tiba di lokasi kejadian didapati api sedang marak membakar dua buah rumah dan dua kenderaan jenis Toyota Estima dan Naza Sutera.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran, dua pancutan dari air jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Paka, Jalan Telekom, Kudat

Menurutnya, siasatan mendapati kebakaran menyebabkan dua rumah dan dua kenderaan musnah 100 peratus.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit. Api berjaya dikawal pada 1.07 tengah hari dan dipadamkan sepenuhnya pada 3.11 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|