Penunggang motosikal maut dilanggar kereta

Penunggang motosikal maut dilanggar kereta

Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kereta di laluan bertingkat (flyover) Jalan Lintas berhampiran sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala.

Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menuju ke Kampung Pulau Penampang dari arah Lido melalui Jalan Lintas.

“Ketika melalui laluan bertingkat, sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun terlanggar motosikal ditunggang mangsa.

Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang maut dilanggar sebuah kereta.

“Akibat impak kemalangan menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik dan suasana masih gelap manakala lampu jalan turut berfungsi,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|