JKR, JPS mulakan kerja selenggara ‘culvert’, parit tersumbat punca banjir

JKR, JPS mulakan kerja selenggara ‘culvert’, parit tersumbat punca banjir

Penampang: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang sudah memulakan kerja-kerja penyelenggaraan parit dan ‘culvert’ tersumbat yang menjadi antara punca banjir di beberapa kawasan di daerah ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang turun padang meninjau kesan banjir di empat kampung di sini, termasuk sebuah sekolah dan Klinik Desa, berkata pihaknya menghargai langkah segera jabatan terbabit melaksanakan kerja penyelenggaraan.

Kerja penyelenggaraan parit dan culvert tersumbat yang menjadi antara punca banjir di Penampang dilaksanakan JKR dan JPS.

“Terima kasih kepada syarikat konsesi di bawah seliaan JKR kerana mengambil tindakan pantas hari ini, memulakan kerja-kerja menyelenggara culvert anak sungai yang tersumbat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang meninjau kesan banjir di Sekolah Menengah (SM) St Micheal dan Klinik Desa Kampung Babagon, selain di Kampung Tomposik, Nampasan dan Tanaki serta Taman Gemilang, di sini.

Sebahagian kawasan terbabit masih ditenggelami air berikutan limpahan air Sungai Moyog dan beberapa anak sungai di kawasan ini.

Malam tadi, Ewon meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, di sini yang menempatkan beberapa keluarga mangsa banjir.

Katanya, beliau akan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen untuk menyelenggara parit persendirian kawasan perumahan Taman Gemilang untuk membolehkan pengaliran air yang bertakung di kawasan itu.

Di Kampung Tomposik, Ewon berkata beliau juga akan menggunakan peruntukan Ahli Parlimen untuk membersihkan timbunan batang buluh yang menghalang laluan jambatan ke Kampung Kimoligan.

“Saya akan terus berkomunikasi dengan Pegawai Daerah Penampang untuk memastikan kerja-kerja mitigasi ini berjalan lancar,” katanya.

Ewon berkata dan Urusetia Pusat Khidmat Parlimen Penampang akan membantunya memantau keperluan dan permasalahan di lapangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|