Dihanyutkan banjir rupanya…

Dihanyutkan banjir rupanya…

Penampang: Sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang berada dalam pembentung parit di Pekan Donggongon, di sini, disebabkan arus deras akibat banjir yang melanda di daerah ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya ada menerima laporan polis daripada pemilik sebenar kenderaan berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati pemilik kenderaan melalui kawasan berkenaan yang sudah dinaiki air banjir.

“Keadaan jalan yang dinaiki air banjir itu menyukarkan mangsa hingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas ke parit.

“Bagaimanapun mangsa berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, kenderaan dipandunya terus dihanyutkan arus deras banjir hingga tersadai di dalam pembentung parit.

“Usaha mengeluarkan kenderaan itu akan dilakukan oleh pemiliknya,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar yang menunjukkan kenderaan itu tersadai di dalam pembentung parit, di jalan menuju ke Bulatan Sigah, di sini.

Kejadian banjir yang berlaku pada Isnin menyebabkan beberapa kawasan dan kampung di sekitar Penampang terjejas.

Antara kawasan terjejas termasuk di Penampang Proper, Jalan Kasigui, Kampung Kolopis, Jalan Kibabaig, Jalan Kiranau dan Kampung Dabak.

Beberapa jalan termasuk di Bulatan Sigah juga tidak dapat dilalui kenderaan ringan selepas ditenggelami banjir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|