Bot bawa 35 penumpang menyusup keluar secara haram ditahan

Bot bawa 35 penumpang menyusup keluar secara haram ditahan

Sandakan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot selepas dipercayai cuba menyusup keluar ke negara jiran secara haram di kedudukan 1.3 batu nautika timur laut Pulau Berhala, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, seramai 35 individu termasuk 15 warga tempatan yang berada di dalam bot berkenaan turut ditahan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

“Bot berkenaan bertindak memecut laju walaupun bot peronda Maritim Malaysia mengarahkan berhenti menggunakan siren dan pembesar suara.

“Bagaimanapun bot tersebut berjaya dihentikan dan diperiksa selepas kira-kira 15 minit dikejar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot penumpang berkenaan disyaki cuba menyusup keluar secara haram menuju ke Pulau Taganak, negara jiran.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, bot yang tidak berdaftar itu dinaiki 35 individu terdiri daripada 10 lelaki, 21 wanita berusia 13 hingga 71 tahun dan empat kanak-kanak.

“15 daripadanya warga tempatan, lima pemegang sijil lahir bukan warganegara, dua MyPR, dua MyKAS, tiga IMM13, dua pemegang passport Filipina manakala enam lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut ditemui barang kawalan iaitu 17 tong kapasiti 25 liter setiap satu berisi minyak petrol dan enam guni ayam sejuk beku dianggarkan 90 kilogram,” katanya.

Tambah Zainudin, semua tangkapan berserta bot diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|