Penduduk Palm Height, NGO Islam Lahad Datu rayu kerajaan campur tangan isu bina masjid

Penduduk Palm Height, NGO Islam Lahad Datu rayu kerajaan campur tangan isu bina masjid

Lahad Datu: Penduduk taman perumahan Palm Height hari ini berhimpun secara aman bagi menyuarakan kekecewaan berikutan terdapat tentangan terhadap pembinaan masjid di taman perumahan berkenaan.

Hal itu berikutan ada pihak tidak berpuas hati berhubung pembinaan masjid berkenaan yang kini sudah 75 peratus siap.

Menurut salah seorang penduduk, Abu Bakar Moding, pembinaan masjid berkenaan mendapat sokongan awal Majlis Daerah Lahad Datu, Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Buat masa ini kami beribadah di bangunan kedai sahaja dan sudah menaruh harapan dapat ruang dan tempat selesa bagi kegunaan jemaah, namun sekarang tidak dapat lagi kerana dihalang,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Masjid, Samsudin Mohd Yatim, beliau berkata seharusnya tidak timbul sebarang tentangan bagi mendirikan rumah ibadah.

“Perkara ini hanya akan menyebabkan ketegangan di antara penganut agama, pihak berwajib perlu menyelesaikan perkara ini agar tidak berlarutan.

“Kami mohon dengan penuh hikmah dan kasih sayang kami tidak melanggari peraturan, alhamdulillah kami ada dapat sokongan-sokongan di pihak-pihak tertentu, kebenaran-kebenaran mendirikan dan setelah kami sudah buat kesepakatan untuk mendirikan masjid ini, namun kami telah mendapat tentangan dan mereka ini telah memfailkan isu ini di Mahkamah Tinggi Tawau.

“Kami berharap sangat pada mulanya sempatlah masjid ini digunakan pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Sebanyak dua memorandum bantahan diserahkan oleh pihak NGO Islam Lahad Datu dan wakil KRT Penduduk kepada pihak berkenaan termasuk pihak Majlis Daerah Lahad Datu.

Pada 14 Julai tahun lalu, Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Hakim Ghulam Hassan turut melawat tapak masjid berkenaan dan memantau proses pembinaannya.

Hadir sama pada perhimpunan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Lang Merah Malaysia, Pertubuhan Amal Muafakat Angkatan Malaysia dan beberapa lagi wakil NGO Islam yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|