Pendaki wanita warga Korea alami AMS, diselamatkan

Pendaki wanita warga Korea alami AMS, diselamatkan

Ranau: Seorang wanita diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami ‘Acute Mountain Sickness’ (AMS) ketika mendaki gunung di Laban Rata, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, wanita warga Korea berusia 55 tahun itu dilaporkan mengalami masalah kesukaran untuk bernafas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR bersama TTS dan Malim Gunung melakukan pemeriksaan bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa diberi bantuan pernafasan oksigen sehingga keadaan mangsa beransur pulih,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diiringi turun ke Timpohon Gate.

“Mangsa telah beransur pulih dan diuruskan oleh agen mangsa.

“Operasi ditamatkan pada 7.59 pagi tadi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|