Mayat kanak-kanak perempuan ditemui terdampar di tepi pantai

Mayat kanak-kanak perempuan ditemui terdampar di tepi pantai

Tawau: Mayat kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemukan terdampar di tepi laut berhampiran Jalan Persisiran, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Lydia itu ditemui orang awam ketika melalui kawasan berkenaan.

Susulan itu, orang awam menghubungi pihak polis memaklumkan mengenai penemuan mayat terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 1.37 tengah hari.

“Menurut saksi ditempat kejadian iaitu ibu mangsa sendiri, kira-kira jam 4 pagi tadi, ibu mangsa sedari anaknya tiada di sisinya.

“Saksi dan mangsa merupakan suku Palauh yang tinggal dan tidur di kawasan kaki lima Kompleks Industri Ba Zong, di sini.

“Ibu mangsa berusaha mencari di sekitar kawasan berkenaan dan tidak menemui anaknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, pada jam 1.30 tengah hari, dia dimaklumkan ada menemui mayat dipercayai kanak-kanak terdampar di tepi laut Jalan Persisiran Tawau.

“Selepas mayat dibawa naik dari laut oleh pasukan bomba dan saksi (ibu mangsa) mengesahkan mayat itu adalah anaknya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk siasatan lanjut.

“Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|