Penampang dilanda banjir

Penampang dilanda banjir

Penampang: Hujan lebat yang berterusan sejak petang tadi, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini, dilanda banjir.

Kawasan yang terjejas iaitu Penampang Proper, Jalan Kasigui, Jalan Kibabaig, Jalan Kiranau, Kampung Kolopis, Kampung Dabak dan beberapa kawasan lain.

Anggota bomba menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir di Penampang Proper, Penampang.

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang turut dibuka menempatkan beberapa mangsa banjir.

Operasi memindahkan mangsa banjir dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mengarahkan pegawai Pusat Khidmat Parlimen Penampang membantu petugas Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang untuk menangani situasi semasa banjir di daerah berkenaan.

“Saya baru berhubung dengan Pegawai Daerah Penampang (Francis Chong) mengenai situasi semasa banjir di Penampang.

“Pegawai Daerah mengisytiharkan berlakunya bencana banjir dan Bilik Gerakan Bencana telah diaktifkan. Semua petugas jabatan diminta bertugas sesuai dengan tugas dan jadual yang ditetapkan.

“Pusat pemindahan sementara juga dibuka mengikut keperluan dan operasi pemindahan mangsa banjir di lapangan juga dilakukan.

“Oleh kerana saya berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Parlimen, saya meminta semua pegawai pejabat Menteri saya yang berada di Sabah dan urusetia Pusat Khidmat Parlimen Penampang untuk membantu pusat bencana daerah,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa daripada Pegawai Daerah dan agensi-agensi berkaitan bagi memantau bencana banjir di Penampang.

“Saya meminta semua penduduk mengambil langkah-langkah keselamatan sepanjang bencana dan cuaca hujan lebat ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|