Belanjawan 2023: Bina lebih banyak rumah kos rendah di Sabah – Masiung

Belanjawan 2023: Bina lebih banyak rumah kos rendah di Sabah – Masiung

Kota Kinabalu: Kerajaan Perpaduan persekutuan diharap memberi penekanan terhadap usaha untuk membina dan menyediakan rumah kos rendah menerusi pembentangan semula Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 24 Februari ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, di Sabah saja pihaknya menerima kira-kira 50,000 permohonan bagi mendapatkan rumah kos rendah.

“Sebagai Pengerusi LPPB Sabah, sudah tentu menjadi satu impian yang besar bagi saya untuk menyediakan rumah kos rendah di seluruh negeri ini.

“Untuk makluman, kita telah diberi taklimat oleh pengurusan LPPB, sekarang terdapat lebih kurang 50,000 lebih pemohon rumah kos rendah yang sedang menunggu giliran dalam sistem.

“Oleh itu, saya telah mengutarakan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri agar perkara ini diambil perhatian.

“Kita berazam untuk membina sekurang-kurangnya 50,000 atau 10,000 buah rumah bagi mengurangkan angka tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Santai Menu Rahmah di Restoran Pak Mus, Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, selain kemudahan asas, rumah juga merupakan perkara penting yang perlu diberi penekanan.

Justeru itu, beliau menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap perkara itu.

“Selain daripada kemudahan asas seperti air, elektrik dan sebagainya, rumah juga merupakan kemudahan asas yang penting.

“Di situlah kita berlindung daripada hujan, terik matahari, khususnya di kalangan mereka yang baru berkeluarga, bujang dan sebagainya.

“Oleh itu, perkara ini perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan juga pihak Kerajaan Negeri,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat 24 Februari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|