Pemilihan tidak ikut perlembagaan, SAFA Tenom berkecuali

Pemilihan tidak ikut perlembagaan, SAFA Tenom berkecuali

Tenom: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tenom mengambil pendirian untuk berkecuali susulan pemilihan kepimpinan badan induk bola sepak negeri itu yang berlangsung, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, beliau mendapat maklumat yang pemilihan itu tidak berlandaskan undang-undang dan perlembagaan persatuan itu.

Katanya, SAFA Tenom tidak akan menyokong sebarang usaha dalam persatuan yang melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati dan tidak mengikut peraturan serta perlembagaan.

“Pada mesyuarat kami Jumaat lalu, peringkat pimpinan tertinggi SAFA Tenom membuat keputusan untum berkecuali sekiranya pemilihan SAFA peringkat negeri baru-baru ini, bertentangan dengan perlembagaan.

“Saya pernah pegang jawatan presiden SAFA sebelum ini, perkara ini tidak pernah berlaku, yang tidak layak tidak akan dibenarkan bertanding.

“Sekiranya seseorang ingin bertanding jawatan presiden, perlu dua sokongan dari pihak gabungan.

“Gabungan berkenaan juga mesti dari gabungan yang aktif dan sah, yang masih berdaftar dan dibenarkan oleh pesuruhjaya sukan.

“Bagi (gabungan) yang tidak aktif, mereka tidak boleh mencadangkan dan menyertai pemilihan, saya harap perkara ini diselesaikan secara baik oleh SAFA negeri kerana ia membabitkan imej persatuan ini dan bola sepak di negeri ini secara amnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap menyeru SAFA agar lebih menjaga bakat-bakat tempatan di negeri ini.

Katanya, begitu ramai sekali bakat-bakat tempatan yang kini disisihkan dan bakat-bakat baharu juga semakin kurang ‘digilap’.

“Sebelum ini, ketika saya menjadi presiden, hampir kesemua pemain kita adalah daripada orang Sabah dan kita berjaya mencapai kejayaan membanggakan apabila berjaya melonjakkan pasukan kembali ke Liga Super.

“Bukanlah bermaksud kita tidak mahu mengambil pemain daripada luar, tapi saya sedikit sedih apabila melihat pasukan kini hanya didominasi pemain luar.

“Yang mengeluarkan perbelanjaan adalah kerajaan menerusi SAFA dan seterusnya kepada Sabah FC, saya berpendapat perlunya ada kouta untuk pemain-pemain kita.

“Bayangkan juga tiba-tiba pemain-pemain daripada luar termasuk jurulatih ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan, ‘lugai-lugai’ lah kita,” katanya.

Peter berkata, ketika beliau menerajui SAFA dulu, beliau mengekalkan status quo untuk pemain tempatan walaupun ada pemain luar diambil.

“Jadi nasihat saya selaku bekas presiden, kepada kepimpinan SAFA, ambil lah mereka yang benar-benar tahu melibatkan diri dengan bola sepak, halatuju bola sepak kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|