Kerajaan Negeri bukan sengaja tangguh RUU Anti Lompat – Hajiji

Kerajaan Negeri bukan sengaja tangguh RUU Anti Lompat – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula esok kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Jelasnya, bertentangan dengan dakwaan pihak pembangkang, Kerajaan Negeri bukan sengaja menangguhkan pembentangan RUU itu bagi mengekang wakil rakyat daripada bertukar pihak.

“RUU Anti Lompat Parti melibatkan pindaan Perlembagaan Negeri dan ia memerlukan kelulusan Yang Dipertua Negeri dan Raja sebelum ia boleh dibentangkan di DUN.

“Jadi, adalah tidak benar yang didakwa oleh pihak pembangkang bahawa kita sengaja melambat-lambatkannya. Kita perlu patuh kepada prosedur,” katanya dalam ucapan pembukaan pada mesyuarat pra-majlis, hari ini.

Hajiji berkata, pindaan RUU berkenaan memerlukan majoriti dua pertiga dalam persidangan DUN untuk diluluskan.

“Saya yakin RUU itu akan mendapat sokongan penuh daripada ahli GRS dan Pakatan Harapan.

“Saya juga menggesa wakil pembangkang untuk menyokong RUU itu kerana mereka juga menyokong agar ia diluluskan di Sabah,” katanya.

RUU Pindaan Perlembagaan negeri tersebut merupakan antara empat yang akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama persidangan penggal keempat DUN Sabah bermula 22 hingga 25 Mei depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|