Jadikan sambutan perayaan wadah sepakat membawa berkat

Jadikan sambutan perayaan wadah sepakat membawa berkat

Tawau: Sambutan perayaan perlu menjadi mekanisme semua pihak untuk membentuk kesepakatan mendepani cabaran memajukan negeri Sabah.

Menurut Pengarah Urusan Raspand & NJ Group, Datuk Najib Tay Abdullah, majlis sambutan atau rumah terbuka harus dijadikan contoh sebagai lokasi kesemua pemimpin berkumpul dengan mengetepikan fahaman politik masing-masing serta merapatkan silaturahim.

Najib dan isteri, Saadiah mengadakan sambutan majlis rumah terbuka di Wisma Najib Jaya, Tawau, semalam.

“Saya berpendapat, sambutan perayaan, majlis rumah terbuka boleh menjadi wadah tepat supaya pemimpin mahupun rakyat merapatkan jurang untuk bersepakat memberikan pendapat mereka memajukan negeri Sabah.

“Dalam erti kata lain, ketepikan fahaman politik masing-masing dan cari titik tengah dengan memberikan apa juga pendapat untuk mendepani isu yang kita hadapi sekarang.

“Sebagai contoh, isu seperti bekalan elektrik, daripada kita terus bertelagah, ada baiknya kita mencapai kesepakatan untuk sama-sama mencari jalan penyelesaiannya dengan pihak pembangkang boleh menjadi semak dan imbang, bukannya menghantam kerajaan secara melulu sahaja, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Wisma Najib Jaya, Jalan Damai, Tawau, semalam.

Turut menghadiri majlis itu adalah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, ADUN Balung, Datuk Hamid Awang dan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong.

Terdahulu, dalam majlis tersebut, Najib dan isterinya, Datin Saadiah Abdul Rashad turut berkesempatan menyantuni lebih 2,000 tetamu yang hadir rumah terbuka berkenaan terdiri daripada kakitangan syarikat tersebut dan masyarakat setempat.

Menurut Najib lagi, rumah terbuka Aidilfitri berkenaan turut membuktikan kemajmukan masyarakat di daerah Tawau yang sentiasa menyokong perpaduan dengan meraikan sambutan setiap kaum, terutamanya perayaan utama di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|