120 Rumah SMJ, trek sintetik RM1.2 juta untuk Papar

120 Rumah SMJ, trek sintetik RM1.2 juta untuk Papar

Papar: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidarkhan Bahadar di Dewan SMK Pengalat, hari ini.

Majlis yang dihadiri ribuan pengunjung itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Anjuran Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Ali dan ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidarkhan Bahadar, hari ini.

Dalam majlis itu, Hajiji dan Fadillah telah menyaksikan penyerahan simbolik kunci replika Rumah SMJ bagi 120 unit yang akan dibina di kawasan Parlimen Papar.

Penyerahan itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, yang menyerahkan kunci kepada Pegawai Daerah, Mohd Fuad @ Frederick Julianus Atik.

Safar turut menyampaikan replika cek berjumlah RM1.2 juta bagi pembinaan trek sintetik Padang Papar.

Terdahulu, Hajiji telah menyertai Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Perkhidmatan Awam Persekutuan yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Negeri.

Turut hadir Speaker DUN, Datuk Kadzim Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Negeri, Datuk Makhzan Mahyuddin dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|