Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah untuk menangani isu bekalan air dan elektrik yang melanda Sabah ketika ini.
Menurut beliau, masalah bekalan air dan elektrik merupakan isu warisan yang mana Kerajaan Negeri kini mengambil langkah segera untuk selesaikan.
“Saya harap rakyat memahami situasi ini dan saya menyeru pihak yang mengkritik supaya tidak mempolitikkan perkara itu.
“Pagi ini, saya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat kepada saya tentang langkah segera dan akan datang yang diambil SESB bagi menangani masalah kekurangan bekalan elektrik yang membebankan ramai orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengenai isu bekalan air, Hajiji berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong mengambil tindakan drastik bagi memperbetulkan pentadbiran pengurusan air negeri.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik tetapi juga bergerak ke hadapan untuk mewujudkan pelan kontingensi.
“Kita melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara itu kerana kami juga serius dalam usaha menarik pelabur ke Sabah. Kedua-dua kemudahan ini penting untuk pelabur.
“Kita telah menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek mereka di sini seperti SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, Linaco dan Esteel dan kita mahu melihat lebih banyak lagi. Kita serius,” katanya.
Tambah Hajiji, Negeri telah menyediakan pelan tindakan untuk membetulkan isu-isu ini dan dengan jaminan dan komitmen Perdana Menteri untuk membantu Sabah, beliau yakin akan ada penyelesaian.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.
-Deasoka