Isu tanah penduduk di Nabawan, kerajaan perlu pandang serius – Peter

Isu tanah penduduk di Nabawan, kerajaan perlu pandang serius – Peter

Kota Kinabalu: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menyeru kerajaan negeri agar memandang serius seterusnya mengambil tindakan sewajarnya berhubung permohonan sekumpulan penduduk di Nabawan berkaitan tanah.

Katanya, kerajaan atau jabatan berkaitan perlu meneliti permohonan penduduk terbabit secara adil tanpa memihak kepada mana-mana individu ataupun kumpulan

Beliau berkata, kesanggupan seramai kira-kira 100 penduduk dari Nabawan yang menempuh perjalanan jauh untuk berhimpun dalam keadaan cuaca panas di hadapan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Keningau menunjukkan ia satu perkara serius.

“Mereka sanggup pergi ke Keningau dari Nabawan untuk berhimpun walau cuaca panas terik, saya andaikan perkara ini serius kerana begitu ramai sekali yang hadir…ada yang memakai pakaian tradisi dan alat muzik tradisional dimainkan.

“Saya bukanlah mahu berpihak kepada sesiapa, tapi kita semua sedia maklum, isu tanah ini sangat sensitif, apatah lagi bagi penduduk kampung yang ‘periuk nasi’ mereka bergantung kepada hasil tanah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap mencadangkan supaya sesi dialog antara pihak kerajaan dengan penduduk kampung diadakan bagi memberi gambaran sebenar.

“Beri penjelasan yang sejelas-jelasnya kepada penduduk kampung tapi jangan pula lupa untuk mendengar keluhan mereka (penduduk kampung) juga.

“Isu tanah ini sangat sensitif, kalau tidak bersemuka maka banyaklah andaian-andaian yang kita tidak tahu betul atau tidak…pastikan juga tiada tangan-tangan ghaib yang masuk campur dalam isu ini,” katanya.

Terdahulu semalam, lebih 100 penduduk dari lima kampung di Nabawan bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan pejabat JTU Keningau.

Mereka yang mula berkumpul kira-kira jam 9 pagi itu dipercayai untuk menyerahkan surat mohon penjelasan daripada JTU Keningau berkenaan isu nama penduduk kira-kira lebih 100 orang yang tercicir daripada senarai nama dalam geran komunal di Sepulut.

Selain itu, difahamkan tujuan kedatangan NGO berkenaan ke Jabatan Tanah dan Ukur Keningau, adalah untuk memohon penjelasan kenapa geran komunal tidak ditukar kepada geran Native Title (NT).

Beberapa klip video itu turut tular di media sosial menunjukkan sebahagian mereka memakai pakaian tradisional suku kaum Murut sambil bermain alat muzik tradisional.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|