PDRS lancar tabung bantu mangsa banjir

PDRS lancar tabung bantu mangsa banjir

Kota Kinabalu: Persatuan Dedikasi Rakyat Sabah (PDRS), hari ini, melancarkan tabung bagi mengutip derma bagi membantu mangsa banjir di Tandek, Kota Marudu.

Presidennya, Harry Yanto Bikal berkata, menerusi sumbangan orang ramai, tabung berkenaan akan digunakan untuk membantu penduduk di kawasan berkenaan yang kebanyakannya petani bagi mendapatkan keperluan harian.

“Hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir memberi kesan kepada hampir semua kawasan di Tandek.

“Penduduk sekitar yang kebanyakannya bekerja sebagai petani tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan keperluan harian kerana kawasan pertanian, kediaman dan jalan raya ditenggelami air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harry berkata, sumbangan berupa makanan, minuman, wang serta sukarelawan itu akan difokuskan di kawasan Tandek terlebih dahulu namun sekiranya tabung mencukupi, ianya akan diperluas ke kawasan lain termasuk di Pitas, Kudat dan Paitan yang turut terjejas.

“Sumbangan semua pihak amatlah kami hargai, sudah tiba masanya kita berganding bahu bagi membantu mangsa-mangsa bencana alam terutama mangsa banjir ketika ini.

“Negeri kita ini sering ‘bergelut’ dengan politik, cukup-cukuplah berbalah angkara politik ini, marilah kita bersatu untuk kebaikan rakyat di negeri yang kita cintai ini, kita mulakan dari akar umbi, membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, tempoh pengumpulan derma bermula hari ini hingga 5 Februari depan dengan mana-mana individu, kumpulan, syarikat atau persatuan boleh membuat sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor 1212341100045942 BSN atas nama Persatuan Dedikasi Rakyat Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|