‘On-Site Learning’ beri pendedahan 3D

‘On-Site Learning’ beri pendedahan 3D

KOTA KINABALU: Aktiviti ‘On-Site Learning’ yang dilaksanakan pelajar program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu memberi pendedahan awal kepada para pelajar berkaitan aspek 3D, iaitu Sukar (Difficult), Bahaya (Dangerous), dan Kotor (Dirty) dalam industri pembinaan.  

Pensyarah FKJ, Sr. Ts. Dr. Asmawan Mohd Sarman berkata, program yang diadakan di tiga lokasi, iaitu tapak Projek Pembinaan Jambatan Km295.40, Pembinaan Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya, dan Pembinaan Kompleks Latihan Orang Kurang Upaya itu mampu memberi gambaran awal yang lebih jelas mengenai 3D agar pelajar kejuruteraan awam UMS dapat merasai keadaan sebenar di tapak pembinaan.  

“Aktiviti oleh sekumpulan 47 pelajar tahun dua FKJ memberi pendedahan tentang cara mengaplikasikan ilmu pengetahuan di dalam kuliah dengan menggambarkan suasana pembinaan sebenar sesuatu projek di luar universiti.  

“Dengan pendedahan awal ini, pelajar lebih bersedia untuk menghadapi realiti pekerjaan di tapak pembinaan pada masa hadapan, serta mengenali dengan lebih dekat tentang elemen-elemen bangunan yang telah dipelajari di dalam kuliah,” katanya.  

Dalam pada itu, aktiviti tersebut turut memberi peluang kepada para pelajar untuk bertemu dan mendapatkan pengalaman daripada alumni UMS dalam bidang tersebut menerusi program Jejak Alumni.  

“Bagi aktiviti ini, rombongan telah mengadakan pertemuan dengan dua alumni FKJ yang kini merupakan pegawai di Jabatan Kerja Raya Sandakan, iaitu Elfira Afifah dan Oliver Petrus yang masing-masing merupakan graduan kejuruteraan awam UMS ambilan tahun 2008 dan 2011.

“Pencapaian mereka dalam bidang kejuruteraan awam adalah sebuah contoh kejayaan alumni UMS yang telah berjaya melalui pengalaman pembelajaran yang sama, dan kini membuktikan kecekapan dan kebolehan mereka dalam industri kejuruteraan,” katanya.  

Ujar Asmawan, jejak alumni sebegini mampu memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar UMS untuk meraih kejayaan yang sama dalam kerjaya kejuruteraan mereka di masa hadapan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|