Naik taraf jalan ke Long Pasia sangat mendesak – Matbali

Naik taraf jalan ke Long Pasia sangat mendesak – Matbali

Kota Kinabalu: Jalan raya sepanjang kira-kira 140 kilometer yang menghubungkan Sipitang dengan Long Pasia perlu dinaik taraf berikutan keperluannya yang sangat mendesak ketika ini.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata usaha menaik taraf jalan raya berkenaan penting demi keselesaan penduduk dan pengunjung yang selama ini berdepan kesukaran perhubungan.

Katanya, isu itu perlu diberi keutamaan agar rakyat benar-benar dapat menikmati erti kemerdekaan memandangkan Sabah sudah mencapai 60 tahun merdeka pada tahun ini.

“Jalan Mendulong-Meligan dan Meligan-Long Pasia, sejauh 140 kilometer, perlu dinaik taraf. Projek itu amat mendesak bagi kemudahan penduduk agar mereka menikmati makna dan erti kemerdekaan yang kini sudah mencapai 60 tahun.

“Selain jalan raya, masalah elektrik dari Meligan ke Long Pasia juga perlu diatasi segera memandangkan projek solar hybrid di kedua-dua tempat itu belum siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu pada perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, kelmarin.

Masalah perhubungan jalan raya menghubungkan Long Pasia adalah isu pertama yang dibangkitkannya sepanjang tujuh minit berbahas.

Matbali berkata isu kedua yang ditekannya turut berkaitan jalan perhubungan ke Long Pasia dan kawasan lain iaitu usaha menaik taraf laluan sungai atau low level crossing.

“Ketiga, menaik taraf Jalan Kampung Bangkalalak ke Kampung Mentulud di DUN Lumadan sejauh 2.5 kilometer yang sudah bertahun-tahun lama diperjuang.

“Keempat, projek Rancangan Tebatan Banjir Sindumin, dengan cadangan pembinaan alur limpah, parit aras tinggi dan kerja-kerja berkaitan di Sungai Mengalong, Sindumin dan rancangan Tebatan Banjir dengan cadangan mendalamkan Sungai Lukutan Hilir.

“Kelima, menaik taraf kemudahan asas Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) bagi menarik kemasukan pelabur asing,” katanya.

Menurutnya, Sipitang adalah antara koridor penting ekonomi Sabah dan negara keseluruhannya berikutan pelaksanaan SOGIP yang melibatkan kawasan seluas 1,600 hektar.

Matbali berkata isu keenam berkaitan kerosakan jalan raya disebabkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dari Sipitang ke Beaufort yang perlu dipantau dan diberi perhatian serius.

Katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan menyebabkan kerosakan teruk pada jalan raya yang menjadi laluan pengguna saban hari.

Sementara itu, bagi isu ketujuh, Matbali membangkitkan kemudahan jalur lebar yang perlur diperkasakan di kawasan Sipitang memandangkan masih banyak tidak mempunyai liputan telekomunikasi.

“Kita berharap agar lebih banyak stesen pemancar dibina di kawasan Sipitang supaya lebih luas kawasan dapat diliputi rangkaian telekomunikasi,” katanya.

Matbali berkata, banyak isu hendak dibawanya, tetapi disebabkan kekangan masa, maka isu-isu lain akan dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Katanya, antara isu yang turut dibawanya termasuk masalah bekalan air bersih penduduk Sipitang sejak sekian lama yang memerlukan tindakan segera menaik taraf loji-loji air sedia ada.

Selain itu, katanya isu hakisan jalan dan tebing sungai di kawasan Lumadan juga memerlukan perhatian segera pihak berkuasa.

Antaranya termasuk jalan Kampung Luagan Sanginan, Batandok Lupak, Lupak, Tuhu Lupak, Gadong, Labi, Lalanggut, Suasa, Kaundu, Pintas dan Barumbai.

Menurutnya, selain jalan raya, tebing Sungai Padas berdekatan jalan di kampung-kampung berkenaan juga mengalami hakisan teruk dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya dalam jangka panjang.

Matbali juga meminta JKR melebarkan bahu kiri dan kanan jalan raya dari Kampung Lajau ke Kampung Kabajang.

“Ini penting untuk memudahkan pengguna atau penduduk meletakkan kenderaan ketika kecemasan atau sebarang majlis, kenduri atau musibah,” katanya.

Terdahulu, Matbali turut menyatakan penghargaan atas sokongan rakyat Sipitang yang memilihnya menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

Beliau berjanji tidak akan mensia-siakan harapan rakyat yang memberi mandat itu, sebaliknya akan berusaha sekuat hati bagi membalas budi mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|