Mulianya hatimu mendiang Cospermas…

Mulianya hatimu mendiang Cospermas…

Kota Kinabalu: Tindakan mulia pihak keluarga Cospermas Gugkang, 38, untuk mendermakan organ mendiang telah memberikan anugerah deria penglihatan kepada dua orang penerima.

Sambil menzahirkan ucapan takziah, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin turut merakamkan penghargaan kepada keluarga penderma kerana memberi sinar harapan baru kepada pesakit yang memerlukan.

Menurutnya, penderma budiman itu telah disahkan meninggal dunia melalui pengesahan ujian mati otak di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.

“Walaupun masih dalam kesedihan di atas kehilangan ahli keluarga tersayang, pihak keluarga mendiang telah bermurah hati untuk mendermakan sepasang kornea (mata).

“Ia bagi tujuan transplan kepada pesakit yang memerlukan setelah diberikan penjelasan mengenai keadaan mendiang dan pilihan tentang pendermaan organ,” katanya dalam satu kenyataan.

Rose Nani berkata, pembedahan transplan kornea yang disumbangkan telah berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan, masing-masing pada 10 dan 11 Januari lalu, di Hospital Queen Elizabeth.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua orang penerima tersebut kini stabil dan dalam proses pemulihan.

Sehubungan itu, JKNS berharap agar lebih ramai masyarakat tampil mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera bagi membantu pesakit-pesakit yang memerlukannya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|