Kerajaan negeri alu-alukan Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-38 di Sabah

Kerajaan negeri alu-alukan Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-38 di Sabah

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memuji usaha Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) membawa Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-38 ke negeri ini pada September depan.

Katanya, beliau berharap agar festival berkenaan akan mempromosikan dan memupuk pemahaman mendalam mengenai budaya masyarakat Cina.

Datuk Seri Hajiji Noor

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif FCAS. Saya berharap festival ini akan menggalakkan dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang kepelbagaian budaya Cina yang berwarna-warni.

“Sabah mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang pelbagai di mana toleransi dan penerimaan warisan antara satu sama lain telah wujud.

“Kerajaan menggalakkan dan menyokong perkara ini,” katanya ketika dalam ucapan sempena pembukaan Karnival Tahun Baru Cina 2023 di Lintasan Deasoka, hari ini.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, pihaknya akan memastikan rakyat mendapat pembangunan yang sama rata, termasuk peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan agama bukan Islam di negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah melakukan yang terbaik untuk membangunkan negeri di bawah pelan tindakan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan pada penghujung 2022, Kerajaan Negeri telah mengutip lebih RM6.6 bilion hasil.

“Ia bukan sahaja prestasi terbaik daripada Kerajaan Negeri Sabah sejak pembentukan Malaysia pada 1963, tetapi juga bukti dedikasi dan keupayaan Kerajaan untuk membangunkan negeri ini,” tegasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan dasar yang kukuh untuk membawa lebih banyak pelaburan pada masa hadapan.

Tambahnya, keputusan Putrajaya untuk menyerahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Negeri pada 21 Disember lalu, menandakan permulaan yang positif.

Terdahulu, Hajiji telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang diluluskan sebulat suara semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sehubungan itu, saya berharap masyarakat Cina yang majoritinya berniaga akan bekerjasama dengan Kerajaan untuk membangunkan negeri ini.

“Saya yakin dengan sokongan daripada rakyat, khususnya masyarakat Cina, setiap langkah yang diambil oleh Kerajaan akan secara progresif menggerakkan Sabah ke arah yang betul,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|