Misi RAHMAH:LPG tidak bersubsidi dibekal ke Brunei

Misi RAHMAH:LPG tidak bersubsidi dibekal ke Brunei

Kota Kinabalu: Kerajaan memulakan Misi RAHMAH Ekonomi Sempadan Malaysia – Brunei bermula dengan pembekalan Gas Petroleum Cecair (LPG) tidak bersubsidi ke negara jiran itu.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, objektif program berkenaan adalah bagi meningkatkan keterjaminan bekalan serta peningkatan kerjasama perdagangan antara negara ini dan negara jiran.

Salahuddin ketika ditemui dalam program berkenaan, hari ini.

Jelasnya, Misi RAHMAH berkenaan dimulakan dengan pembekalan LPG tidak bersubsidi dari Malaysia ke Brunei dan akan diperluaskan dengan barangan keperluan lain yang akan diperincikan di antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

“Bagi program Misi RAHMAH Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei, ianya dimulakan dengan pembekalan LPG tidak bersubsidi dari Malaysia ke Brunei.

“Pihak KPDN memberi jaminan bahawa pembekalan LPG tidak bersubsidi ke Brunei tidak akan menjejaskan kelangsungan bekalan LPG di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Misi RAHMAH Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei Projek Pembekalan LPG Tidak Bersubsidi ke negara Brunei Darussalam yang diadakan di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini.

Untuk rekod, dalam program itu, PETRONAS menerusi pengeluaran LPG di Loji Teluk Sepanggar, telah bersetuju untuk membekalkan sebanyak 150 Tan Metrik (MT) LPG tidak bersubsidi kepada Brunei.

Pembekalan LPG tersebut disempurnakan oleh syarikat Brunei Shell Marketing Company (BMSC) Sendirian Berhad dari Terminal Minyak dan LPG Teluk Sepanggar, Sabah ke Brunei telah bermula 16 Jun lalu hingga 1 Julai hadapan.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kerjasama ekonomi serantau terutama dengan negara jiran adalah potensi baharu yang wajar diterokai dan dipertingkatkan oleh pemain industri perdagangan di negara ini.

“Adalah diharapkan Misi RAHMAH Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei ini dapat memberi pelbagai nilai tambah kepada kedua – dua negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada masa kini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|