Kota Kinabalu: Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN) menyambut baik saranan dan keperihatinan Ketua Menteri terhadap pembelaan kepada para penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang di minta mengosongkan rumah mereka baru-baru ini.
Menurut Presidennya, Datuk Najib Tay Abdullah, pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet pada minggu hadapan merupakan alternatif tepat dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Jelasnya lagi, ia sekaligus memperlihatkan bahawa pihak kerajaan yang dipimpin Hajiji mengambil berat akan permasalahan rakyat terutamanya para penyewa dimaksudkan.
“Meskipun perkara itu mempunya pro dan kontranya, bagi saya, sebagai Ketua Menteri beliau (Hajiji) dilihat terus membela permasalahan dialami rakyat dengan membawa perkara tersebut ke peringkat mesyuarat kabinet negeri.
“Dalam kenyataan beliau di majlis Persidangan Majlis Perundingan Pelajar Sabah semalam, Hajiji secara jelas amat perihatin dengan isu itu dan meminta pihak yang berkenaan tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan tanpa membawa atau memaklumkan kepada pihak kerajaan kerana ia melibatkan isu rakyat yang mungkin mengalami kesukaran untuk memiliki rumah sendiri, ” katanya.
Terdahulu, pada Rabu, tular mengenai isu Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) yang mengeluarkan notis untuk meminta penyewa rumah PPR yang melebihi 10 tahun di beberapa kawasan Kota Kinabalu supaya mengosongkan kediaman masing-masing.
Perkara tersebut kemudiannya mendapat perhatian daripada Ketua Menteri yang memaklumkan isu tersebut akan diputuskan pada minggu hadapan selepas mesyuarat Kabinet Negeri.
Najib dalam masa sama turut meminta Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mempertimbangkan soal ekonomi semasa yang mungkin membelenggu rakyat Sabah dan memikirkan kaedah menang-menang dalam isu itu.
“Saya tahu, ini adalah isu mengenai kebajikan rakyat dan ia perlu diutamakan.
“Namun adalah lebih baik sekiranya perkara ini diselesaikan secara efisyen dengan mengadakan sesi townhall dan mendekati secara langsung mana-mana penyewa yang difikirkan sudah mempunyai kriteria sesuai untuk berpindah daripada PPR yang dimaksudkan.
“Dengan short notice seperti mana yang terjadi baru-baru ini, ia akan menarik perhatian ramai dan isu akan dimainkan untuk memperlihatkan bahawa kerajaan ini kejam terhadap rakyat, ia bukanlah sesuatu perkara yang bagus…perlu penerangan yang jelas kepada rakyat, ” katanya.
-Deasoka