Mesin pembungkusan retort bantu manfaatkan lebihan makanan – KPDN

Mesin pembungkusan retort bantu manfaatkan lebihan makanan – KPDN

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mengambil langkah menempatkan mesin pembungkusan retort di premis pengusaha industri makanan di negeri ini.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, ia selaras dengan komitmen dalam membantu memperkasakan lagi program Food Bank Malaysia (FBM).

KPDN Sabah menyerahkan mesin pembungkusan retort kepada BTC Maju Holding.

Selain itu, katanya, ia bagi membantu rakyat dan pengguna dalam memanfaatkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada pembaziran.

“Inisiatif ini merupakan kaedah terbaik dalam mengendalikan lebihan makanan yang dihasilkan oleh industri makanan, peruncitan, hotel dan restoran sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pembaziran dalam negara.

Antara yang terlibat dalam program penyerahan mesin pembungkusan retort hari ini.

“Teknologi pembungkusan Retort adalah kaedah pengawetan makanan tanpa menggunakan bahan kimia, serta menggunakan teknik aseptik iaitu bebas dari sebarang mikroorganisma membiak.

“Ianya menggunakan haba yang tinggi (pensterilan) untuk membunuh atau melumpuhkan bakteria yang berbahaya.

“Jangka hayat lebihan makanan yang melalui proses retort ini juga mampu ditingkatkan antara 18 hingga 24 bulan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan proses pembungkusan secara retort itu melibatkan pelbagai pihak, iaitu Sekretariat Food Bank Malaysia (SFBM), KPDN Negeri, industri perhotelan, katering dan pengeluar produk makanan.

Jelasnya, golongan sasar bagi program itu pula tertumpu kepada keluarga yang tergolong kurang berkemampuan dalam kumpulan B40, diutamakan kepada keluarga mempunyai tanggung Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

“Selain itu, keluarga yang mengalami atau terkesan oleh bencana alam seperti banjir dan kebakaran, pelajar yang tergolong dalam kumpulan B40 (diutamakan kepada pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan bawah RM 1,000) serta Pelajar yang memerlukan dan dikenal pasti dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah Georgie, pihaknya amat mengalu-alukan syarikat atau pasar raya yang berpontensi untuk menjadi penyumbang kepada projek berkenaan, sekali gus dapat membantu dalam mengurangkan kadar pembaziran dalam negara.

Pada Khamis, sebagai perintis projek itu di Sabah, KPDN Sabah menyerahkan satu unit mesin pembungkusan retort kepada BTC Maju Holding Sdn Bhd melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Kadir ME Sikkandar.

Sempena penyerahan mesin pembungkusan retort tersebut, perbincangan mengenai pelaksanaan Program Menu Rahmah turut diadakan bersama beliau yang juga Penasihat Dewan Perniagaan India Muslim Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|