MAFS sedia bantu 50 peratus kerugian petani akibat banjir di Sabah

MAFS sedia bantu 50 peratus kerugian petani akibat banjir di Sabah

Tawau: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MFS) sedia membantu setiap petani yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin, berkata kementeriannya sudah mula mengagihkan bantuan kepada negeri terjejas banjir di Semenanjung.

Foong Hin bersama Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy ketika lawatan kerja ke pejabat PPK Kalabakan di Merotai Besar, Tawau.

Katanya, ia termasuk bantuan kerosakan tanaman akibat banjir yang menyebabkan petani mengalami kerugian.

“Untuk musim tengkujuh ini kita pun ada bantuan kepada pesawah. Mulai hujung tahun lalu kita sudah mula dengan negeri seperti Kelantan dan Kedah.

“Awal tahun ini pula kita sampai ke Sabah untuk kita mengagihkan bantuan kepada pesawah yang menghadapi masalah kekurangan hasil dan hasil rosak akibat cuaca ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perjumpaan dan amanat sempena lawatan kerja rasmi beliau di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan di Merotai Besar, dekat sini, hari ini.

Foong Hin berkata, nilai bantuan yang diberikan kepada petani adalah 50 peratus daripada jumlah kerugian yang dialami mereka.

“Kita ada tabung bencana juga dan memang kita prihatin kepada petani dan kita selalu sedia untuk membantu.

“Kita akan bantu 50 peratus daripada kerugian dan tidak semestinya dalam bentuk kewangan tapi juga dalam bentuk yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|