Lopak air di tempat letak kenderaan Hospital Beaufort dalam proses dibaiki – JKNS

Lopak air di tempat letak kenderaan Hospital Beaufort dalam proses dibaiki – JKNS

Kota Kinabalu: Pihak Hospital Beaufort kini dalam proses membuat pembelian batu kerikil dan mendapatkan bantuan dari syarikat konsesi hospital untuk menimbus lubang yang terdapat di tempat letak kenderaan sementaranya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya juga telah menerima permohonan daripada hospital berkenaan untuk menaik taraf tempat letak kenderaan tersebut.

“Jabatan ini akan mengambil tindakan segera untuk membaiki ‘pothole’ tersebut, dan memastikan projek naik taraf diselesaikan dalam masa terdekat supaya keselamatan pesakit dan pengunjung di Hospital Beaufort terjamin.

“Jabatan ini memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi dan akan sentiasa berusaha memastikan kualiti perkhidmatan dan keselesaan fasiliti untuk rakyat berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sebagai maklum balas terhadap isu tempat letak kenderaan sementara di padang Hospital Beaufort yang berlubang.

Dalam pada itu, katanya, Hospital Beaufort merupakan salah satu hospital pakar minor yang baru dinaik taraf di negeri ini.

Jelas beliau, hospital berkenaan turut menerima rujukan dari daerah Sipitang, Kuala Penyu dan juga Lawas, Sarawak.

“Pertambahan jumlah petugas kesihatan, pesakit, pelawat, serta jumlah kenderaan menjadikan kawasan tempat letak kenderaan sementara semakin sesak dan kejadian ‘pothole’ kerap berlaku.

“Keadaan cuaca yang kerap hujan juga menjadi punca kejadian tempat letak kenderaan sementara itu menjadi semakin teruk (lecak dan berlubang) memandangkan tapak tersebut merupakan kawasan tanah timbus,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|