Lelaki warga asing rempuh SJR ditahan

Lelaki warga asing rempuh SJR ditahan

Lahad Datu: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) dalam satu operasi bersepadu mencegah jenayah (OBMJ), tengah malam tadi.

Suspek berusia 37 tahun itu merempuh SJR di Kilometer 12 Jalan Lahad Datu – Tawau, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Anggota polis yang menjalankan SJR di Kilometer 12 Jalan Lahad Datu – Tawau.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner DR Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian suspek yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Lahad Datu.

Katanya, ketika melalui sekatan jalan raya itu, suspek bertindak merempuh walaupun diarah untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

Suspek warga asing cuba melarikan diri selepas merempuh SJR ditahan polis.

“Akibat daripada rempuhan itu menyebabkan sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Kawasaki EX250 mengalami kerosakan teruk.

“Bagaimanapun lain-lain petugas tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keadaan motosikal milik PDRM yang rosak teruk akibat dirempuh kereta dipandu suspek.

Menurutnya, suspek yang cuba melarikan diri selepas merempuh sekatan jalan raya itu berjaya ditahan.

“Polis turut merampas kereta Proton Wira Aeroback (salon) yang dipandu suspek untuk membantu siasatan.

Kereta jenis Proton Aeroback yang dipandu suspek

“Kes disiasat di atas pelbagai kesalahan oleh suspek iaitu Seksyen 180 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat Awam dalam menjalankan fungsi jawatannya, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis, Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Tambah beliau lagi, suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan yang dijalankan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|