Pelantikan Ruji sebagai KSU KDN pengiktirafan buat Sabah – Mohd Zaki

Pelantikan Ruji sebagai KSU KDN pengiktirafan buat Sabah – Mohd Zaki

Kota Kinabalu: Pelantikan Datuk Ruji Ubi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap kreadibiliti anak Sabah.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto, berkata ia sekali gus membuktikan kerajaan Persekutuan semakin membuka ruang kepada orang Borneo untuk menjawat jawatan penting di kementerian kanan.

Katanya, beliau yakin pelantikan itu bukan bertujuan untuk mengambil hati orang Sabah tetapi dibuat berdasarkan kemampuan dan pengalaman luas Ruji sendiri.

“Pemilihan Datuk Ruji sebagai KSU adalah tepat dan penempatan beliau di KDN juga satu keputusan yang bijak.

“Dengan pengalaman luas beliau ketika menjawat pelbagai jawatan kanan sebelum ini, kita yakin beliau boleh memberikan nasihat yang tepat dan bernas berkaitan keselamatan dalam negara khasnya di Sabah.

“Kita juga yakin Datuk Ruji boleh mengangkat martabat semua agensi di dalam KDN ke tahap lebih tinggi dan ini adalah sejarah yang membanggakan khususnya buat anak Tawau kerana buat pertama kalinya seorang anak Sabah dilantik sebagai KSU di KDN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, dua anak Sabah sedang berkhidmat sebagai KSU iaitu Datuk Seri Mohamad Mentek di Kementerian Komunikasi dan Digital serta yang terkini, Ruji di KDN.

Kedua-dua mereka pernah mengetuai pengurusan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebelum bertukar ke jawatan lain.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Ruji berkuatkuasa 20 Februari ini.

Katanya, pelantikan Ruji, 53, adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas beliau sepanjang memegang beberapa jawatan di pelbagai bidang seperti keselamatan, pengurusan pemantauan projek pembangunan dan pengurusan sumber manusia.

Ruji yang sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 27 tahun, pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) di Kementerian Pertahanan dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|