Membakut daerah penuh terbaharu di Sabah

Membakut daerah penuh terbaharu di Sabah

Kota Kinabalu: Selepas sekian lama berstatus daerah kecil di bawah pentadbiran daerah Beaufort, Membakut kini sah menjadi sebuah daerah penuh terbaharu di Sabah.

Status daerah ke-28 itu diwartakan pada 9 Februari lalu selepas diisytiharkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Mac 2022.

Notis makluman pengisytiharan status daerah penuh itu dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong pada 27 Disember lalu.

Ia kemudian diwartakan sebagai Warta Kerajaan Negeri pada 9 Februari 2023.

Mengulas mengenai peningkatan status itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata lebih banyak kemudahan diharap dapat dibina di daerah itu sejajar dengan status baharunya.

“Dengan naik taraf daerah kecil Membakut kepada daerah penuh diharap akan bertambah kemudahan pembangunan di daerah ini seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Majlis Daerah, hospital termasuk Urusetia Pejabat Daerah.

“Begitu juga dengan pejabat jabatan dan agensi yang lebih selesa dan memberikan kemudahan kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri turut berharap akan ada kolej pendidikan dan kemahiran, khasnya TVET dapat dibawa ke daerah Membakut.

Katanya, slogan untuk daerah baharu itu kekal seperti yang sering disebut sebelum ini iaitu ‘Membangun Dengan Ilmu’.

Sebelum ini, kerajaan negeri ketika di bawah Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengumumkan keputusan kerajaan negeri mewujudkan daerah baharu yang merangkumi Membakut, Bongawan dan Kimanis.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dilaksanakan sehinggalah pada akhir tahun lalu apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kelulusan penubuhan daerah baharu Membakut.

Membakut terletak di lokasi strategik antara Beaufort dan Papar yang boleh dikunjungi sama ada melalui jalan raya atau pengangkutan rel dikendalikan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|