Lesen terbang, empat penguatkuasa dicekup SPRM

Lesen terbang, empat penguatkuasa dicekup SPRM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan empat anggota penguat kuasa kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada ejen-ejen dan calon-calon yang mengambil lesen memandu.

Sumber berkata, kesemua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan 2022 serta disyaki menerima wang rasuah melalui orang tengah sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.

“Modus Operandi (MO) yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ini adalah dengan meminta dan menerima rasuah daripada “orang tengah” antara RM400 hingga RM1,200 daripada setiap calon bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu berkata, kegiatan haram sindiket pengeluaran lesen terbang ini dipercayai menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM1.5 juta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah jam 9 pagi esok.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|