Tawau: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam satu kebakaran membabitkan satu blok rumah kongsi pekerja tujuh pintu berukuran 70×70 kaki persegi musnah seratus peratus di Ladang Brumas, Kalabakan pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mayat mangsa, Sofian Aggel Ibrahim, 52, ditemukan dalam salah satu bilik rumah kongsi berkenaan, dipercayai terperangkap dalam asap tebal dan tidak dapat keluar dari rumah menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada jam 1.50 petang.
Empat pegawai dan anggota bersama sebuah pacuan empat roda digerakkan ke lokasi kejadian, sejauh 65 kilometer.
Setibanya di lokasi kejadian, api telah padam dengan bantuan penduduk kampung.
Siasatan awal mendapati pengadu tidak dapat menghubungi pihak bomba pada masa kejadian kerana kawasan tersebut tidak mempunyai jaringan komunikasi sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Bomba.
Pemeriksaan selanjutnya menemui mayat mangsa di lokasi kejadian.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.31 petang.
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga berdekatan.
Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian, serta jumlah kerugian yang dialami mangsa terlibat.
-Deasoka