Kempen keselamatan jalan raya di Sabah dilancarkan sempena Pesta Kaamatan

Kempen keselamatan jalan raya di Sabah dilancarkan sempena Pesta Kaamatan

Lahad Datu: Kempen keselamatan jalan raya telah dilancarkan menjelang sambutan perayaan Kaamatan, di sini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Lahad Datu mencatatkan kadar kemalangan jalan raya tertinggi bagi empat bulan pertama tahun ini.

“Lahad Datu dipilih untuk melancarkan kempen keselamatan jalan raya ini memandangkan ia juga merupakan salah satu daerah yang mencatatkan kes kemalangan yang agak tinggi.

“Saya difahamkan pada empat bulan pertama, jumlah kes kemalangan yang telah berlaku di dalam daerah ini telah mencapai lebih 200 kes.

“Jadi ini merupakan satu angka yang kita perlu perhatikan maka dengan itu kita meneruskan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan,” katanya.

Jelas beliau lagi, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan memandu dengan cermat bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada pengguna jalan raya untuk memandu dengan cermat pada setiap masa.

“Terutamanya di musim-musim perayaan yang mana jumlah aliran trafik dijangka meningkat tinggi dan juga mungkin ada pemandu yang berada dalam keadaan penat melakukan perjalanan jauh.

“Pastikan kesihatan individu ataupun pemandu sewaktu melakukan perjalanan jauh dalam keadaan yang baik.

“Begitu juga dengan keadaan kenderaan masing-masing, pastikan dalam keadaan yang baik untuk melakukan perjalanan anda,” katanya.

Shahelmey turut mengagihkan sebanyak 30 biji helmet untuk diberikan kepada penunggang motorsikal sewaktu merasmikan kempen keselamatan jalan raya di jalan raya utama Kg. Sepagaya, Lahad Datu.

Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan ke jalan Pan Borneo Lahad Datu serta tinjauan mengejut ke Loji Rawatan Air di Segama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|