Kota Belud: Seorang lelaki menanggung sakit apabila kakinya patah akibat dihempap pokok yang ditebang di kawasan kebun Kampung Pomotodon, Jalan Ranau, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 11.47 pagi.

Menurutnya, sepasukan bomba dan jentera bomba (FRT) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota EMRS kemudian memberi rawatan awal pada mangsa berusia 45 tahun dan seterusnya membawanya menggunakan stretcher ke tempat selamat.

“Mangsa patah kaki akibat dihempap pokok ketika menjalankan aktiviti menebang pokok di kawasan kebun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat pada 1.55 tengah hari,” katanya.
-Deasoka