Tenom: Seorang lelaki maut selepas dirempuh dua kenderaan dalam kejadian di Jalan Tenom-Keningau, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 8.46 malam.
Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
“Kemalangan melibatkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang dilanggar oleh dua kenderaan.
“Pasukan Bomba bertindak mengangkat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba turut melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.22 malam.
-Deasoka