KPDN sita 29,000 liter diesel bernilai RM109,000

KPDN sita 29,000 liter diesel bernilai RM109,000

Tuaran: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel dalam operasi di sebuah stor tidak bernombor di kampung Lok Batik, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 10.30 pagi itu, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 29,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM107,000 yang diletakkan dalam skid tangki beserta pam elektronik.

KPDN Tuaran menyita 29,000 liter diesel dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Lok Batik, Tuaran.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Daerah Tuaran, Saripuddin Moleng berkata, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja stor di lokasi turut ditahan.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit akan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Serbuan dijalankan berdasarkan kepada risikan selama seminggu yang dilakukan KPDN Cawangan Tuaran.

Pegawai penguat kuasa KPDN Tuaran memeriksa stor yang menyimpan diesel di Kampung Lok Batik, Tuaran.

“Berdasarkan keterangan awal pekerja stor berkenaan, barang kawalan itu diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua pekerja terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,”katanya.

Menurutnya, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta

Manakala katanya, bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Saripuddin berkata, KPDN Tuaran akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan.

Katanya, ia bagi memastikan tiada sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan di daerah ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ditalian 019-279 4317 dan 019-848 8000 atau melalui Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my serta Call Centre 1-800-886-800.

“Aduan turut boleh dihantar ke email di e-aduan@kpdnhep.gov.my; Ez ADU KPDNHEP atau hadir sendiri ke Pejabat KPDN berhampiran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|