Lelaki ditahan seludup minuman keras dari Labuan

Lelaki ditahan seludup minuman keras dari Labuan

Labuan: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar minuman keras tidak bercukai dari Labuan gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Op Kontraban di tepi jalan Kampung Laut Menumbuk, semalam.

Suspek lelaki berusia 34 tahun ditahan PPM Labuan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan muatan pelbagai minuman keras bernilai hampir RM10,000.

Pelbagai minuman keras yang ditemui di dalam kenderaan dipandu suspek.

Dalam kejadian jam 4.25 petang, bertindak ke atas maklumat awam, Unit Risikan Marin PPM Labuan mengekori sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menyeberang melalui feri dari Labuan ke Menumbuk.

Sebaik tiba di Menumbuk, kenderaan berkenaan berjaya di pintas di jalan tepi Kampung Laut Menumbuk.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penahanan suspek dan rampasan pelbagai minuman keras yang tidak bercukai.

Nilai minuman keras selepas cukai yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM10,000.

Jumlah keseluruhan rampasan kenderaan dan minuman keras dianggarkan sebanyak RM138,152.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|